Sunday, July 19, 2009

Israk & Mikraj

Hari ini 27 Rejab 1430, telah berlaku satu peristiwa besar semasa hayat baginda Rasulullah SAW ia itu penerimaan perintah solat secara terus daripada Allah SWT. Mari kita ambil iktibar peristiwa besar ini supaya kita berhati-hati dalam apa jua tindakan kita di masa akan datang.

Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada satu malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat.
(Surah Bani Israil: 1)


Kejadian Isra' (perjalanan dari Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis) dan Mikraj (perjalanan dari alam bumi ke alam langit hingga ke Sidratul Muntaha) ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah. Ketika itu Nabi sedang berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Ja'afar di Hijr Ismail (Masjidil Haram), tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mengangkat Nabi ke telaga Zamzam.

Di sana Nabi ditelentangkan dan berlakulah pembedahan di mana dada Nabi dibedah untuk dikeluarkan hatinya. Hati nabi dicuci dengan air zamzam. Kemudian dimasukkan semula bersama unsur ruhani iman dan hikmat. Setelah itu dadanya dijahit dan dimatrikan dengan khatimin nubuwwah.
(Kejadian ini menjelaskan kepada kita bahawa peringkat pertama untuk berjalan menuju Allah ialah pembersihan diri dari segi jasmani dan rohani).

Selesai Nabi Muhammad menjalani operasi pembersihan jasmani dan rohani, baginda dipersilakan oleh Jibril untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq (seekor binatang dari alam malakut yang mempunyai pergerakan yang teramat laju). Mengikut satu riwayat Buraq yang dipilih oleh Jibril ini merupakan satu-satunya haiwan yang mempunyai ciri teristimewa kerana sejak mendengar nama Nabi Muhammad, ia tidak tahan menanggung rindu sehingga tidak lalu untuk makan dan minum, bahkan saban masa duduk menangis tersedu-sedu.
(Peristiwa ini menggambarkan kepada kita sedangkan seekor haiwan mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap Nabi Muhammad, betapa hal dengan diri kita yang mengaku sebagai umat Muhammad)

Buraq yang dibawa oleh Jibril itu agak liar tetapi bila Jibril mengatakan yang Nabi Muhammad akan naik di belakangnya, badannya berpeluh dan dengan rasa malu merendahkan badannya untuk ditunggang oleh Nabi. Buraq terus membawa Nabi dengan diiringi oleh Jibril di sebelah kanan dan Mikail di sebelah kiri. Maka bermulalah perjalanan yang amat bersejarah.

Beberapa minit perjalanan, sampailah di suatu tempat bernama Thaibah (Medina). Di sini Jibril menyuruh Nabi berhenti untuk melakukan solat 2 rakaat dan memberitahu di sinilah kelak Nabi akan melakukan hijrah. Kemudian perjalanan diteruskan lagi hingga sampai di satu tempat iaitu Bukit Tursina, iaitu tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Di sini Nabi berhenti untuk melakukan solat dua rakaat. Perhentian seterusnya ialah di Baitul Laham, tempat kelahiran Nabi Isa, di mana Nabi sekali lagi mengerjakan solat.
(Peristiwa ini menggambarkan kepada kita tentang perlunya mengerjakan solat sunat apabila singgah di masjid atau di tempat-tempat yang mulia)

Perjalanan diteruskan lagi. Dalam perjalanan ke Baitul Maqdis, Nabi diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa simbolik yang ganjil-ganjil. Setiap kali melihatnya, Jibril menerangkan hakikat sebenar peristiwa tersebut.
Di antaranya adalah:
• Jin Ifrit membawa obor (api) sambil mengejar Nabi dari belakang
_________Malaikat Jibril ajarkan doa menangkis serangan jin. Apabila Nabi membacanya, jin tersungkur
• Sekumpulan manusia memecahkan kepala sendiri. Apabila bercantum dipecahkan lagi tanpa henti.
________Balasan bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang
• Sekumpulan manusia memakai cawat dihalau untuk makan buah berduri yang amat pahit atau api neraka.
________Balasan bagi mereka yang tidak mengeluarkan zakat
• Sekumpulan manusia dihidangkan dengan 2 mangkuk berisi daging masak dan daging mentah yang busuk. Mereka memilih daging mentah
________Gambaran manusia yang berzina sedangkan mereka mempunyai pasangan yang sah.
• Beberapa orang tidak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan
________Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas, walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain.
• Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi. Apabila bersambung semula digunting lagi tanpa henti.
________Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik tapi dia sendiri tidak melakukannya.
• Sekumpulan orang berkuku tembaga menggaru muka dan dadanya sendiri sehingga habis daging, namun masih menggaru lagi.
________Gambaran orang yang mengumpat dan membuka rahsia orang kepada orang lain serta menjatuhkan maruah mereka.
• Seekor lembu keluar dari satu lubang yang sempit, kemudian cuba masuk semula ke lubang itu tetapi tidak boleh.
________Gambaran pasangan lelaki dan perempuan asing berbual perkara lucah, kemudian menyesal tapi tidak mampu menarik perkataannya.
• Seorang lelaki datang dari arah kanan Nabi meminta Nabi berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu.
________Seruan orang Yahudi. Jibril menerangkan jika Nabi melayan, nescaya ramai umatnya menjadi Yahudi
• Seorang lagi datang dari arah kiri merayu Nabi supaya berhenti
________Seruan orang Nasrani menghalang sebaran Islam
• Seorang wanita dengan perhiasan yang sarat meminta Nabi berhenti
________Gambaran tipu daya dunia. Jika Nabi menjawab ramai akan terpesona dengan keduniaan.
• Orang tua duduk di tepi jalan seraya menyuruh Nabi berhenti
________Seruan Iblis cuba menghalang usaha dakwah
• Seorang wanita bongkok tiga menahan Nabi untuk bertanya sesuatu
________Gambaran umur dunia yang sangat tua dan tunggu saat untuk kiamat
• Nabi tercium bau yang amat harum
________Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun.
• Kayu merentangi jalan sehingga menyukakan orang lalu-lalang
________Gambaran orang yang suka berpeleseran dan melepak
• Sekumpulan orang berenang di dalam sungai darah. Mereka dilempar dengan batu. Batu-batu itu diambil dan dimakannya.
________Gambaran orang yang makan riba'
• Sekumpulan manusia menanam gandum. Sesaat kemudian berbuah dan dituai.
________Gambaran orang yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.

Selepas menyaksikan pelbagai jenis panorama, akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis. Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Nabi Muhammad saw solat tahyatul masjid dan Jibril menyuruh Nabi mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.

Kemudian Nabi dihidangkan dengan tiga gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Nabi memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia.

Selesai upacara Israk, sampai ketika Nabi Muhammad diMikrajkan. Sejenis tangga yang canggih seakan escalator membawa Nabi ke angkasa. Maka bermulalah episod mikraj dari langit pertama hingga ke tujuh dan kemudiannya ke Sidaratul Muntaha. Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik Malaikat penjaga langit membuka pintu, Nabi Muhammad saw diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad.

Langit pertama Nabi berjumpa Nabi Adam, bapa segala manusia.
Langit kedua Berjumpa dengan Nabi Isa dan Yahya.
Langit ketiga Berjumpa dengan Nabi Yusof
Langit keempat Berjumpa dengan Nabi Idris
Langit kelima Berjumpa dengan Nabi Harun
Langit keenam Berjumpa dengan Nabi Musa
Langit ketujuh Berjumpa dengan Nabi Ibrahim

Mari kita ambil iktibar dari peristiwa ini
Contoh pertama :
- Nabi tercium bau yang amat harum Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun.

Dalam hal ini, penulis hadir solat Jumaat semasa Ustaz Uda Kassim dari Pusat Zakat Selangor memberi Khutbah Jumaat di Masjid As-Salam pada 17hb. Julai 2009 yang lalu. Antara lain beliau berkata bagaimana hebatnya wanita tukang sikat anak Firaun ini mempertahankan agamanya kerana mengetahui bahawa yang memberi nikmat serta rezeki adalah Allah SWT. Sanggup menyatakan yang hak walau pun terpaksa mengorbankan nyawa sendiri dan keluarganya.

Dalam hal ini, penulis kagum sangat bagaimana Masitah mempertahankan agamanya. Bolehkah kita umat Islam hari ini mendapat walau 1% daripada tahap keimanan itu dalam mempertahankan agamanya? Dalam kontek ini, penulis ingin mengaitkan mengenai perpaduan umat Islam. Bukankah perpaduan yang merupakan teras perjuangan Rasulullah SAW menjadi keutamaan kita umat Islam di Malaysia sekarang ini?. Bukankah bersatu padu itu dianjurkan oleh agama Islam yang menjadi asas perjuangan Rasulullah SAW dalam membangunkan kerajaan Islam di Madinah. Mengapa perkara ini tidak dijadikan agenda utama dalam menyatukan orang Melayu yang beragama Islam di Negara ini? Bila UMNO bersetuju untuk duduk berbincang mengenai perpaduan orang Melayu beragama Islam tetapi kepimpinan PAS pulak cuba berdalih dengan seribu macam helah. Yang bercakap tu pulak bukan calang-calang orang tetapi boleh pulak berpeluk padu dengan DAP yang terang-terang menolak penubuhan Negara Islam seperti yang diwar-warkan selama ini oleh pemimpin PAS sehingga pemimpin DAP itu berkata; jika hendak menubuhkan Negara Islam langkah mayatnya dulu. Dengan orang UMNO yang beragama Islam tak boleh pulak walaupun untuk berunding. Kitakan seagama, takkan mati nanti bila ditanya siapa saudara kamu? Nak dijawap; saudara saya ialah dot..dot. Tak ada terasa sikit pun kah dalam hati orang PAS bahawa mereka ini sedang “dipergunakan”?.

Contoh-contoh lain pulak ialah:
• Beberapa orang tidak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan - Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas, walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain.
• Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi. Apabila bersambung semula digunting lagi tanpa henti.- Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik tapi dia sendiri tidak melakukannya.

Sudah-sudahlah!!! Ingatlah bahawa kita pasti meninggalkan dunia ini tetapi sudah bersediakah kita untuk berhadapan dengan Allah SWT untuk diperlihatkan apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Ingat yang berkata-kata adalah anggota badan kita bukannya mulut yang laser…

No comments:

Post a Comment