Tuesday, June 23, 2009

UCAPAN Sulung Ketua Pemuda UMNO Bhg Petaling Jaya Selatan,Sdr Ridzuan bin Mahidin pada 16hb. Oktober 2008 di Laksamana Ballroom, Hotel ARMADA, Petaling Jaya setelah memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan untuk sessi 2008 – 2011.

Assalamualaikum warah matullah hi wabarakatuh

Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya maka kita dapat berjumpa di dewan yang mulia ini dan saya diberi tanggungjawab yang besar dalam menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua sahabat-sahabat yang terlibat menjayakan mesyuarat perwakilan ini dan juga semua sahabat-sahabat yang selama ini memberikan sokongan serta dorongan yang tidak berbelah bahagi untuk saya bertanding jawatan ini.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Naib Ketua Pemuda dan semua yang menang pada malam ini.

Bersempena dengan bulan syawal yang mulia ini, saya juga ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri serta memohon ampun dan maaf kepada semua hadirin sekelian.

Saudara-saudara sidang perwakilan sekelian,

Bersempena bulan yang mulia ini, marilah kita merapatkan lagi ikatan persaudaraan sesama kita dan kita lupakan terus tentang pertandingan yang baru berlangsung tadi.

Harapan saya agar yang menang janganlah riak dan yang kalah janganlah bersedih dan saya amat berharap dapat mendekati beliau dengan lebih rapat lagi untuk kita sama berjuang memartabatkan parti ini.

Saudara-saudara sidang perwakilan sekelian,

Saya juga ingin memohon saudara-saudara untuk merenung sejenak perjuangan mereka yang terdahulu daripada kita, terutamanya mereka yang telah melalui detik-detik getir berjuang menentang penjajah serta menuntut kemerdekaan.

Apa ertinya UMNO kepada mereka?

Kenapa mereka ini sanggup berjuang bermati-matian, berkorban jiwa raga, harta benda dan masa. Marilah kita bersama-sama menghayati semangat perjuangan mereka pada masa itu. Adakah UMNO menjanjikan apa-apa kepada mereka? Wang ringgit? Projek? Jawatan? Ataupun kuasa?

Apakah asas sebenar perjuangan mereka?

Setujukah saudara-saudara sekelian kiranya saya merumuskan bahawa asas sebenar perjuangan datuk nenek kita dahulu adalah untuk memastikan anak cucu mereka dapat mengecapi kehidupan yang lebih sempurna dan lebih baik dibumi bertuah ini?

Saudara-saudara sidang perwakilan sekelian,

Apakah relevan nya perjuangan kita pada hari ini kepada anak cucu kita pula? Kenapa UMNO pada hari ini menerima tamparan yang paling hebat didalam sejarahnya?

Saya ingin menegaskan bahawa perjuangan UMNO telah jauh tersasar dari landasan yang sebenarnya sehingga menyebabkan kita mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihanraya ke 12 yang baru lalu.

Ini adalah perkara yang perlu kita renungkan bersama secara berkumpulan dan kolektif. Kita perlu bersatu hati dalam berjuang serta memikirkan inisiatif yang diluar kotak pemikiran sebelum mengambil apa jua tindakan.

Saudara-saudara sekelian,
Tugas yang menanti kita dihadapan ini amat mencabar. Kita perlu menjadi ahli Pemuda UMNO yang ikhlas dalam perjuangan. Kita perlu mengembalikan kegemilangan Pergerakan Pemuda UMNO PJ Selatan seperti mana suatu ketika dahulu.

Selaras dengan hasrat ini, saya ingin mencadangkan manifesto berikut sebagai landasan perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO PJ Selatan:

  1. Pemuda UMNO PJ Selatan akan menjadi barisan yang disegani diperingkat pusat kerana akan menjadi perisai untuk menangkis semua tohmahan keatas dasar dan polisi UMNO. Pada masa yang sama juga, akan menjadi pembangkang secara berhemah didalam Perhimpunan Agung keatas sebarang dasar serta polisi yang tidak sesuai.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan akan menjadi satu kumpulan pelaksana / penggerak kepada misi dan visi UMNO Bahagian PJ Selatan dan sterusnya UMNO Malaysia.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan beriltizam untuk menjadi pemangkin kepada sebarang peubahan untuk memajukan UMNO seperti mengubah asas perjuangan bangsa, agama dan negara kepada (ALIF) iaitu Agama, (BAA) iaitu Bangsa dan (TAA) yakni Tanahair.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan juga beriltizam untuk meningkatkan tahap keimanan seluruh warga Pemuda serta golongan muda di Parlimen Petaling Jaya Selatan melalui program dakwah dan sebagainya kerana saya yakin dengan tahap keimanan yang lebih baik maka Pemuda akan bertambah maju dalam semua aspek.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan bertekad untuk mempertingkatkan penguasaan semua bidang ilmu melalui bimbingan yang berterusan supaya golongan muda di Parlimen Petaling Jaya Selatan akan dapat memajukan diri mereka.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan taraf hidup/pendapatan golongan muda di Parlimen Petaling Jaya Selatan dengan strategi-strategi yang berkesan dan bantuan daripada semua agensi kerajaan yang terlibat.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan juga akan mewujudkan golongan generasi pelapis di Parlimen Petaling Jaya Selatan ini yang akan menyambung semua usaha/ dasar atau membuat penambah baikkan untuk lebih berjaya lagi di masa hadapan.
    Saudara-saudara sekelian,

Saya memerlukan sokongan saudara sekelian untuk memantapkan lagi manifesto ini dan berjuang bersama-sama untuk merealisasikan manifesto ini. Agama kita juga menuntut kepada semua kegiatan dilakukan secara kolektif, dari solat berjemaah yang darjatnya 27 kali lebih daripada solat bersendirian sehinggalah kepada pelaksanaan ibadah haji.

Saudara-saudara sekelian,

Saya tidak bercadang untuk bercakap lebih panjang lebar lagi kerana kita mempunyai tugas yang lebih mencabar yang perlu laksanakan. Saya ingin menyeru saudara sekelian untuk bersama saya dan jika ada yang kurang atau salah, saya mohon ditegur demi kebaikan bersama. Saya berdoa supaya kita tidak dijangkiti sindrom dinosour.

Sebelum saya mengundurkan diri, saya dengan ini mengumumkan penangguhan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO PJ Selatan bagi tahun 2008.

Saya sudahi dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim

Wabilla hi taufik wal hidayah, Wasalam mualaikum warahmatullah hi taala wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment