Wednesday, July 1, 2009

PEMUDA PJS SETUJU WACANA ILMIAH

Pemuda PJS bersetuju supaya Wacana Ilmiah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS dan Pemuda UMNO Malaysia di percepatkan secepat mungkin bagi membolehkan rakyat memberi tumpuan kepada isu lain selain daripada politik sahaja setiap hari. Mari kita tunjukkan kepada mereka yang lebih senior dalam politik supaya berhenti mengarut tak tentu hala, banyak kerja lain yang perlu diberi keutamaan seperti menaikkan taraf ekonomi rakyat, hal kebajikan rakyat, mencegah/membasmi virus selsema babi(H1N1 la tu..),dll. Ini tidak asyik mengata dan mengumpat sesama muslim, marilah kita berusaha mencari titik persamaan dalam isu perpaduan orang Melayu demi memartabatkan agama Islam itu sendiri. Ayuh kayuh la perlahan- lahan!!! semoga usaha murni ini akan menampakkan hasil nya bukan sekarang tetapi berpanjangan sehingga 50 tahun akan datang... Apa yang penting? PER..PA..DUAN (nyanyi la sikit mcm iklan tu..)
Mari kita tunjukkan kepada mereka, kalau yang senior tak boleh buat bagi la laluan kepada kami yang muda pula tunjuk jalan.Ini baru dikira bersatu padu.

Ingatlah kejayaan sesuatu kaum itu terletak atas keperibadian orang mudanya masakini ...

Wacana Ilmiah : Pemuda UMNO Bersikap Terbuka Jemputan Pemuda Pas
Pemuda UMNO hari ini pada dasarnya bersikap terbuka terhadap jemputan Pemuda Pas untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata dalam perjumpaan ringkas di lobi Parlimen hari ini Pemuda bersikap terbuka kepada mana-mana usaha yang membawa kebaikan kepada masa depan negara.

"Dalam perjumpaan ringkas tadi terserlah kesungguhan untuk menjayakan inisiatif ini. Kita terbuka kepada usaha-usaha yang membawa kebaikan kepada masa depan negara.

"Kita akan tubuhkan urusetia bersama untuk memperhalusi perkara-perkara teknikal termasuk tajuk, format, tarikh, masa dan yang berkaitan dengannya", kata beliau kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi perkara tersebut akan dibuat selepas pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 14 Julai ini.

Dalam perjumpaan di lobi Parlimen di sini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana itu kepada Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim yang mewakili Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Selain Razali dan Hassan, perbincangan kira-kira 15 minit itu turut disertai beberapa pemimpin Dewan Pemuda Pas dan Pemuda UMNO.

Nasrudin berkata, perkara-perkara yang akan difokuskan dalam wacana itu adalah berhubung isu-isu berbangkit termasuk soal prinsip dan hala tuju perjuangan bersama termasuk yang membabitkan umat Islam di negara ini.

"Ini adalah satu usaha ke arah membincangkan dan menyelesaikan masalah yang menjadi polemik dan krisis antara kedua-dua parti dan yang lebih penting untuk kebaikan rakyat.

"Kami sangat positif dan juga bersikap terbuka dalam apa jua suasana ke arah menangani isu bagi menyelesaikan masakah-masalah. Ini insya-Allah akan menjadi permulaan untuk kita lebih membanyakkan perbincangan dan juga menghidupkan budaya ilmiah dalam menyelesaikan masalah," katanya.

Ketua Pemuda PJS merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Cawangan Taman Dato' Harun Idris






Sdr Ridzuan bin Mahidin telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Cawangan Taman Dato' Harun Idris pada 30hb. Julai 2009 di Pejabat Pemuda UMNO Bahagian PJS. Tahniah di ucapkan kepada Sdr Abdul Rahim bin Muhammad yang telah dipilih sebagai Ketua UMNO Cawangan yang baru setelah cawangan tersebut tidak mengadakan mesyuarat tahunan pada tahun yang lepas. Kehadiran ahli-ahli adalah memberangsangkan dan di ucapkan selamat maju jaya kepada kepimpinan yang baru ini.

Tuesday, June 30, 2009

Muslim tawaduk dikurnia hikmah kebijaksanaan

Marilah kita renungkan luahan hati seorang pakar rujuk agama mengenai kegawatan dan kegilaan untuk berkuasa oleh sesetengah pemimpin politik yang sanggup berbuat apa saja dalam menjayakan cita-cita nya...

Meja rundingan ditolak, gelanggang debat dibuka serlah dendam politik tak berkesudahan
.
Oleh Dr Juanda Jaya

GAMAT dan gawat! Parti politik yang mewakili umat Islam saling tuduh-menuduh, menghina dan mengeji sesama sendiri, mengata tanpa batasan kerana berasa diri serta kumpulan mereka paling ikhlas berjuang untuk Islam, sedangkan parti lain munafik, fasik, bahkan difatwakan kafir.

Padahal, mereka semuanya muslimin, mengucapkan syahadatain, mendirikan sembahyang dan fardu lain dalam rukun Islam. Apakah bacaan syahadat mereka itu sebatas kerongkong saja? Sembahyang mereka satu upacara amal semata? Apakah puasa mereka tidak berjaya melumpuhkan sifat keji dan amarah yang merasuk jiwa?

Lidah pejuang politik umat Islam seakan-akan bercabang dua, satu lidah untuk solatnya dan satu lagi lidah untuk mencaci maki saudara seagamanya. Hatinya juga umpama dua talam, hati yang kadang-kadang beristighfar dan hati yang tiba-tiba berubah bak singa kelaparan.

Sesama Muslim bercakaran, satu kumpulan mengaku Islam progresif, lawannya mengisytiharkan parti mereka paling Islamik. Perpecahan sebegini tidak hanya dialami parti politik Islam, bahkan dalam arena organisasi dakwah yang pelbagai timbul masalah perselisihan mengenai manhaj dakwah siapakah yang paling benar.

Jika memang benar semua mengaku bekerja untuk kemaslahatan Islam, maka kenapa timbul pelbagai kerosakan, kemudaratan bahkan mungkin akan menjurus kepada pertumpahan darah. Tidak mustahil apabila pengikut yang tidak dapat mengawal emosi akibat terlalu taksub kepada pemimpin dan parti politik akan memberontak sehingga menimbulkan kemudaratan lebih besar kepada umat Islam keseluruhannya.

Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Min Fiqh Daulah Fil Islam mengatakan: "Pelbagai parti dalam politik sama kedudukannya dengan mazhab dalam aliran fekah. Ulama yang mewakili mazhab fekahnya seperti pemimpin politik yang sama-sama mengaku mewakili Islam. Masing-masing berijtihad mengikut pandangannya yang tidak terlepas daripada kesilapan.

Katanya lagi: "Apa yang kita tolak dalam medan politik sama dengan apa yang kita tolak dalam bidang fiqh iaitu ketaatan yang melulu dan taksub buta serta memberikan kesucian kepada sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi. Inilah punca kerosakan dan perpecahan."

Menyatakan bahawa ulama mazhab fekah itu suci dan tak berbuat kesilapan pun dilarang, maka apatah lagi menyatakan pemimpin politik yang dikasihi itu maksum tidak tersilap. Tidak ada manusia yang tidak bermaksiat melainkan nabi yang maksum.

Al-Qaradawi berkata lagi: "Saya ingin menyatakan kepada mereka, bahawa daulah Islamiyah bukanlah sebuah negara agama (Teokrasi) seperti yang dikenali umat lain. Saya bermaksud bahawa ia adalah daulah madaniyah yang diperintah oleh syariat Islam.

Pemerintahnya bukanlah seorang imam yang maksum, anggotanya bukanlah rahib yang suci, bahkan mereka adalah manusia yang kadang-kadang betul dan silap, kadang-kadang berbuat baik dan jahat, adil dan zalim, taat dan bermaksiat.

Rakyat hendaklah membantu mereka apabila mereka berbuat baik dan adil, membetulkan mereka apabila mereka silap dan menolak perintah mereka apabila mereka diperintahkan berbuat maksiat."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan ke atas seorang Muslim sama ada dia suka ataupun tidak selagi mana tidak diperintah melakukan maksiat, sekiranya diperintah melakukan maksiat maka tidak perlu lagi dengar dan taat." � (Hadis Muttafaq Alaih)

Apabila pemimpin menyeru kepada semangat asabiyah kepuakan, taksub parti sehingga membutakan mata dalam memandang sesuatu isu tanpa usul periksa, memecah belah persatuan umat sehingga melemahkannya hingga ke tahap boleh tunduk dan taat kepada kuasa bukan Islam lagi kafir, maka ia tidak lagi wajib ditaati bahkan mereka wajib menasihati pemimpin yang melakukan kesilapan itu sebagai usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Al-Qaradawi juga mengulas isu perselisihan umat dalam kitabnya bertajuk Al-Shahwah Al-Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa Tafarruq al-Mazmum: "Walau bagaimanapun bukan semua perselisihan adalah keburukan, ia terbahagi kepada dua jenis.

Perselisihan yang membawa kepelbagaian dan keluasan berfikir dan yang kedua ialah perselisihan yang (hanya bermatlamatkan) saling berlawanan satu sama lain. Yang pertama adalah dipuji dan yang kedua adalah dikeji."

Kesatuan adalah saudara kembar kepada iman dan perpecahan pula adalah saudara kepada kekufuran dan jahiliah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai." �(Surah Ali Imran, ayat 103)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang bercerai-berai (Yahudi dan Nasrani) dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata. Dan mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang pedih." � (Surah Ali Imran, ayat 105)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu bertelingkah kerana umat sebelum kamu pernah bertelingkah lalu mereka dibinasakan." � (Hadis Muttafaq Alaih)

Berbilang parti politik yang mewakili Islam diharap dapat membuka keluasan berfikir dan kebijaksanaan menguruskan hal ehwal umat, bukan sebagai medan bertumbuk, berbalah jiwa dan perasaan yang mengundang dendam politik tidak berkesudahan.

Jelas sekali hal sebegini bukanlah suatu rahmat, bahkan ia suatu azab kepada umat Islam. Jika meja perundingan ditolak dan gelanggang perdebatan dibuka, bukankah ia menunjukkan dendam politik yang bertujuan mahu menjatuhkan satu sama lain?

Natijah yang pasti adalah akan saling mendedahkan aib sesama sendiri yang sudah ditutup oleh Allah dan ia sudah pasti merugikan umat seluruhnya.

Apakah sebenarnya yang mahu dibuktikan dengan majlis saling berbantah-bantahan dalam forum terbuka dan disaksikan ramai orang, sedangkan kaedah menasihat sesama Muslim berbeza dengan cara menasihat penjenayah yang zalim lagi suka menumpahkan darah seperti Fir'aun.

Sedangkan Allah menyuruh Musa dan Harun AS menasihati Fir'aun dengan cara berlemah-lembut sebagaimana termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, Sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut." � (Surah Taha, ayat 43-44)

Sewajarnya semua ahli politik Muslim meletakkan maslahat Islam atas segala kepentingan. Dengan itu mereka akan bersikap matang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar tanpa melepaskan ikatan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan moral.

Bukankah al-Quran sudah menjelaskan tahap menyeru manusia ke jalan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berhujahlah dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk." � (Surah An-Nahl, ayat 125)

Dalam hati orang yang menasihati saudara muslimnya hendaklah sentiasa hadir rasa tawaduk, amat sangat inginkan saudaranya dapat menerima nasihat kerana Allah, jauh sekali mahu menunjukkan kehebatan, bahkan dia berkata-kata seolah-olah dia menasihati dirinya sendiri.

Renungilah ungkapan bijaksana ulama Salaf yang agung, al-Imam al-Fudail bin 'Iyad dalam kitab Al-Faqih wal Mutafaqih: "Sesungguhnya Allah mencintai orang alim yang tawaduk dan Allah membenci orang alim yang sombong lagi takbur. Sesiapa yang tawaduk kerana Allah, maka Allah akan mengurniakan hikmah kebijaksanaan kepadanya. Oleh itu dia hendaklah membiasakan lidahnya bercakap dengan lembut dan bersikap halus dalam bersoal jawab. Ini semua hendaklah dilakukan terhadap semua orang, sama ada kepada yang Muslim ataupun kepada ahli zimmah."

Penulis ialah Mufti Perlis
dipetik daripada Berita Harian 29 Jun 2009

Monday, June 29, 2009

Ketua Pemuda Calun BN DUN Manek Urai

Tahniah di ucapkan kepada calun BN DUN Manik Urai dari kami daripada Pemuda PJS dengan doa serta harapan semoga beroleh kemenangan yang besar.

Tuan Aziz calon BN Manek Urai

KOTA BHARU 28 Jun - Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN di Kampung Sungai Sok Luar, dekat sini petang ini.

Muhyiddin yakin Ketua Pemuda UMNO Kuala Krai itu dapat memastikan BN menawan kerusi Manek Urai dan menjadikan ia sebagai titik permulaan kebangkitan parti itu di Kelantan.

"Kita yakin beliau berkemampuan, ada pengalaman dan kelulusan yang tinggi serta biasa dengan masyarakat setempat dan saya percaya beliau boleh menjadi wakil yang berkesan untuk seluruh pengundi di Manek Urai,'' katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman itu.

Malah katanya, pemilihan Tuan Aziz juga dilihat dapat membantu menarik lebih ramai sokongan kalangan muda yang dianggarkan sekitar 25 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Tuan Aziz adalah anak jati Kuala Krai yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yok Chai sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra dan seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra di bandar ini.

Selepas menamatkan pengajian di UTM, anak keempat dari enam beradik itu bertugas di beberapa buah syarikat swasta di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Kuala Krai untuk berkhidmat bersama Kesedar pada tahun 1997.

Di petik dari Utusan Malaysia 29 Jun 2009