Friday, June 26, 2009

Hari Pemilihan Umno serentak

Peluang 191 bahagian seluruh negara pilih Ahli MT

KUALA LUMPUR: Umno bercadang menetapkan satu hari sebagai Hari Pemilihan Umno untuk mengadakan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu secara serentak di semua 191 bahagiannya di seluruh negara.

Perkara itu adalah antara yang dimasukkan dalam draf pertama Cadangan Konsep Pemilihan dan Pindaan Perlembagaan Umno, yang diluluskan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan parti itu dalam mesyuaratnya, di sini, semalam.

Hasil mesyuarat yang dipengerusikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu akan diperhalusi bagi memenuhi cita rasa ahli Umno khususnya generasi muda, untuk memberi peluang kepada semua ahlinya turut serta menyuarakan pandangan dan pendapat.

Jawatankuasa itu juga bersetuju draf cadangan itu dibawa ke bengkel pindaan perlembagaan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Induk untuk dibentangkan dalam Persidangan Perhimpunan Agung Umno Khas, Oktober ini.

Menurut draf cadangan itu, Hari Pemilihan Umno akan ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan Umno selepas dipersetujui oleh MT manakala pemilihan Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Cawangan pula akan diadakan secara berasingan.

Draf itu turut mencadangkan proses pemilihan Jawatankuasa Bahagian diadakan lebih dulu daripada Jawatankuasa Cawangan yang akan dijalankan ketika Persidangan Cawangan.

Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) pada peringkat Pusat, negeri, bahagian termasuk semua peringkat sayap yurut dicadangkan dengan Presiden berhak melantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno.

Ahli Jawatankuasa ditentukan Pengerusi yang akan dicadangkan oleh Badan Perhubungan Negeri dan ahli yang ingin menawarkan diri bertanding perlu mendaftarkan diri dengan JPU sebelum proses pemilihan mengikut tarikh yang akan ditetapkan oleh MT.

Semua pencalonan peringkat MT, Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat akan dibuat di Ibu Pejabat Umno (JPU Pusat) manakala pencalonan peringkat Jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian dibuat pada Badan Perhubungan Umno negeri.

Draf itu juga mencadangkan supaya wakil calon dilantik oleh calon yang menawarkan diri untuk bertanding dan mereka perlu didaftarkan dengan JPU ketika hari penamaan calon.

Cadangan itu turut menyentuh had umur ahli Puteri dinaikkan kepada 40 tahun yang dikira pada 1 Januari tahun berkenaan manakala bagi Ketua Puteri, ia dinaikkan kepada 45 tahun.

Yuran pendaftaran ahli baru dicadangkan untuk dipinda kepada Yuran Seumur Hidup manakala ahli lama diberi tempoh tiga tahun untuk menjadi ahli seumur hidup melalui proses pemutihan.

Sistem kuota pencalonan pula dicadangkan dihapuskan, sebaliknya diganti dengan kriteria tertentu bagi ahli yang ingin menawarkan diri untuk bertanding.

Pendaftaran keahlian boleh dilakukan melalui borang permohonan yang boleh diterima dan ditandatangani oleh Ketua Cawangan atau Ketua Wanita Cawangan atau Ketua Pemuda Cawangan atau Ketua Puteri Cawangan termasuk permohonan yang dilakukan secara online.

Di petik daripada Berita Harian 25 Jun 2009

Baca betul-betul dan fahamkan baru komen...

Tuesday, June 23, 2009

Selsema Babi (H1N1 la tu...)

Tujuh lagi kes influenza A (H1N1), termasuk satu kes jangkitan tempatan, dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan keas tersebut setakat ini meningkatkan kepada 42 kes. Kesemua kes tersebut membabitkan warganegara Malaysia. Lima kes baru itu membabitkan mereka yang pulang dari Melbourne, seorang pulang dari London dan seorang lagi adalah kontak terdekat kes ke-28 yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Kes ke-28 ini merupakan kes jangkitan tempatan kedua, demikian menurut kenyataan kementerian kesihatan hari ini.

Kes ke-36 pula membabitkan seorang pelajar perempuan rakyat Malaysia berusia 11 tahun, yang telah bercuti ke Melbourne pada 10 hingga 16 Jun lalu. Dia bercuti bersama nenek (kes-31) dan ahli keluarga yang lain seramai 11 orang. Empat daripada mereka telah dikesan positif influenza A (H1N1) sebelum ini. Mereka balik ke Malaysia pada 16 Jun dengan pesawat Air Asia X D7 2723 yang tiba di LCCT pada jam 7 pagi tanpa sebarang simpton. Pada 17 Jun, dia telah pergi ke SRJK (Cina), Jalan Davidson, Pudu, Kuala Lumpur. Dia mula batuk pada 17 Jun dan demam keesokan harinya dan disahkan positif influenza A (H1N1) semalam. Berikutan itu, kementerian kesihatan sedang mengesan 47 pelajar dalam satu kelas yang sama dengannya dan meletakkan mereka di bawah kurantin rumah selama tujuh hari. Kes ke-37 adalah seorang warga Malaysia lelaki berusia 22 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Yang menakutkan sekarang, jangkitan ini telah berada di kawasan Petaling Jaya Selatan di mana Sekolah Rendah Assunta 2 telah ditutup selama seminggu bermula hari ini. Apakah tindakan yang boleh dibuat oleh pemimpin-pemimpin kerajaan Negeri Selangor yang banyak cakap sekarang ini yang mengatakan dial ah pembela rakyat dalam ceramah politik mereka dalam memastikan anak cucu kita berada dalam keadaan selamat sejahtera. Masa ini semua dok sibuk menikus diri……

Renungkanlah nasib bangsa yang masih tak sedar diri ni..

Dalam kita mencari penyelesaian masaalah orang Melayu sekarang.Renungkanlah atikel dibawah ini…….. Dipetik dari laman web Pemuda UMNO Malaysia

Kembalikan Perpaduan Dan Kesepakatan Melayu

Oleh Taminsari

Wujud tanggapan bahawa perpecahan orang Melayu sehingga menampakkan kelemahan adalah sesuatu yang berlaku secara berkala. Dengan kata lain, ada masanya Melayu dilihat begitu kuat dan ada kalanya pula ikatan kekuatan itu mudah longgar.

Dalam situasi yang dihadapi sekarang ramai percaya akan tiba waktunya perpaduan Melayu akan kembali utuh. Kali ini dengan momentum yang lebih besar akibat desakan melampau yang secara jelas mempertikaikan hak keistimewaan Melayu serta melanggar prinsip kontrak sosial yang sudah lama disepakati.

Persoalannya, bilakah masanya Melayu akan bersatu (dengan kekuatan sebenar) semula? Bagaimana ia akan berlaku? Kenapa ia perlu menunggu masa yang sesuai? Kenapa tidak Melayu itu sentiasa bersatu sejak dari dulu dan selamanya?

Apakah boleh Melayu zaman ini mempunyai harapan untuk kembali bersatu? Apa pula petunjuk yang akan merealisasikan hasrat tersebut? Jawapan kepada semua persoalan ini terletak kepada pembaca tulisan ini.

Persepakatan Melayu mempunyai pengalaman yang berliku. Sejarah perpaduan Melayu menyaksikan persefahaman yang berlaku satu ketika dahulu cukup kuat.

Walaupun dalam ruang rumah politik yang berlainan tetapi nada yang dilontarkan terhadap perkara yang berhubung dengan kepentingan Melayu cukup jelas, kemas dan sepakat. Langsung tiada rasa was-was atau cuba untuk meraih kepentingan sendiri.

Kesepakatan Melayu secara keseluruhan dapat dilihat sewaktu bersama menuntut kemerdekaan negara. Orang Melayu ketika itu bagaikan hanya memiliki 'satu hati' untuk mencapai matlamat tersebut.

Malahan orang Melayu telah membuktikan bahawa mereka sanggup berkorban demi mencapai kemerdekaan dalam bentuk memberikan hak dan peluang kepada kaum yang bukan penduduk asal di dalam negara ini berkongsi negara dengan mereka.

Merantaulah ke seluruh pelosok dunia pasti tak tercari bandingannya terhadap nilai 'pemberian' Melayu ini.

Atas dasar ini, maka tidak hairanlah satu ketika dahulu Tun Tan Siew Sin pernah mengatakan toleransi orang Melayu ini merupakan sesuatu yang perlu sentiasa dikenang dan kaum Cina tidak mampu untuk meminta lebih dari itu.

Malangnya, terdapat juga suara kecil yang mengkritik 'pemberian' ini dan menganggap pemimpin Melayu bertindak bodoh. Tapi 'kebodohan' inilah yang menjamin mulut yang mengkritik serta keluarga mereka dapat merasai nikmat kemerdekaan dan keamanan hingga ke hari ini.

Mereka wajar sedar bahawa tidak ada negara yang tidak merdeka ketika itu mampu mewujudkan kesejahteraan kepada rakyat apatah lagi untuk melaksanakan tugas-tugas kebajikan.

KEUPAYAAN

Namun, falsafah sebenar 'pemberian' Melayu ketika itu amat jarang diperkatakan iaitu sebagai satu bukti bahawa orang Melayu mempunyai keupayaan untuk menjaga kebajikan kaum lain. Inilah syarat utama yang diletakkan British jika Tanah Melayu ingin merdeka lebih 50 tahun yang lalu.

Sejarah telah menyaksikan British akhirnya mengakui keupayaan Melayu untuk menjaga kebajikan kaum lain yang menjadi pemastautin di negara ini terutama kaum Cina dan India.

Sejarah juga telah melakarkan kita berjaya mengalahkan British yang pernah menang di dalam perang dunia ke-2. Tiada siapa yang berani melawan British ketika itu tetapi pada tahun 1957 pemimpin Melayu berjaya menewaskan mereka dengan hanya satu kekuatan iaitu kekuatan perpaduan

Persepakatan Melayu yang kental, sekali lagi dapat dilihat pada tahun 1974. Ini berikutan setelah berlakunya peristiwa konfrantasi dan tragedi 13 Mei. Ke- sepakatan Melayu atas prinsip kerjasama ditonjolkan di dalam pilihan raya umum 1974. Satu kejutan (sebenarnya satu rahmat) apabila di dalam pilihan raya 1974, Pas membuat keputusan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Hasilnya, UMNO bertanding 61 kerusi dan menang 61 kerusi. Pas pula bertanding 14 kerusi dan menang juga 14 kerusi. Apakah maknanya kemenangan sebegini terhadap penyatuan Melayu?

Sekali lagi pembaca budiman perlu menilainya. Dalam hal ini, siapa kata Pas tidak sanggup berkorban untuk Melayu? Bahkan tindakan Pas ketika inilah menjadikan semangat Melayu semakin kental. Walaupun cerita ini cerita 35 tahun yang lalu tetapi pengorbanan Pas di waktu itu wajar dihargai.

Namun alangkah baiknya jika semangat Pas seperti ini terus hidup. Untuk melihat Pas menyertai BN semula mungkin sukar walaupun tidak mustahil berlaku. Tetapi untuk Pas meneruskan perjuangan dan meraih sokongan yang lebih besar wajar diusahakan. Itu lebih baik daripada Pas terikut dengan rentak politik 'merbahaya' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malang juga kerana sekarang ini sudah kelihatan seorang dua pemimpin kanan Pas mudah goyah dengan permainan politik kotor PKR. Mustahil kepada Pas untuk tidak memahami perjuangan sebenar PKR.

Pas bukanlah sebuah parti baru yang masih perlu ditunjuk ajar. Jika Pas mahu mengekalkan pengaruh tradisinya sewajarnya mereka mengenepikan cara politik yang dibawa pemimpin PKR, Anwar Ibrahim.

Pas pastinya jelas bahawa menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat melalui jalan belakang adalah saluran yang tidak demokratik. Bahkan satu perbuatan yang tidak bertamadun. Mahukah nanti Pas ingin turut sama digelar 'Bapa Kemusnahan Demokrasi Malaysia'?

Walaupun Pas kini mewakili pembangkang namun alangkah baiknya jika Pas memegang prinsip sendiri serta turut memainkan peranan sebagai 'penjaga' demokrasi negara.

Inilah juga masanya bagi Pas untuk merebut peluang bagi menyakinkan seluruh rakyat bahawa mereka juga mampu mentadbir negara sebagaimana UMNO (BN) lakukan sebelum ini. Pas hanya perlu menunggu masa dan peluang.

BERTINDAK

Kenapa tiba-tiba harapan ini disandarkan kepada Pas? Jawapannya terang lagi bersuluh kerana dalam pada kepentingan Melayu dipertikaikan secara terbuka, UMNO yang selama ini diharapkan tidak mampu untuk bertindak segera. Sebaliknya UMNO dilihat lebih berminat menumpukan usaha untuk merebut jawatan.

Kenyataan ini wajar dibaca secara positif. Tidak mustahil orang Melayu akan sepakat mengharapkan Pas jika UMNO terus leka dengan perebutan dalaman yang tiada penghujung.

Jika UMNO ikhlas mereka perlu mengiktiraf pemimpin sedia ada, eratkan persefahaman serta mengenepikan soal pangkat dan jawatan. Kalau ini tidak berlaku, UMNO bakal meniti hari kemusnahan.

Harapan kepada PKR tentulah jauh sekali kerana pendekatan yang dibawa jelas menyimpang daripada prinsip murni demokrasi. Hanya segelintir sahaja yang terpesona.

Mahukah kita membenarkan PKR berjaya menanam 'benih songsang' terhadap demokrasi negara?

Perjuangan yang berlandaskan dendam kesumat. Perjuangan seperti ini wajar kita orang Melayu tolak sama sekali tanpa perlu berfikir panjang.

Dalam menghadapi apa yang sedang berlaku maka sewajarnya kita memilih untuk memikirkan yang terbaik. Berfikirlah untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

Masa ini bukannya masa untuk menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih. Lebih penting, masa ini adalah masa untuk kita senada, seia dan sekata.

UCAPAN Sulung Ketua Pemuda UMNO Bhg Petaling Jaya Selatan,Sdr Ridzuan bin Mahidin pada 16hb. Oktober 2008 di Laksamana Ballroom, Hotel ARMADA, Petaling Jaya setelah memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan untuk sessi 2008 – 2011.

Assalamualaikum warah matullah hi wabarakatuh

Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya maka kita dapat berjumpa di dewan yang mulia ini dan saya diberi tanggungjawab yang besar dalam menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua sahabat-sahabat yang terlibat menjayakan mesyuarat perwakilan ini dan juga semua sahabat-sahabat yang selama ini memberikan sokongan serta dorongan yang tidak berbelah bahagi untuk saya bertanding jawatan ini.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Naib Ketua Pemuda dan semua yang menang pada malam ini.

Bersempena dengan bulan syawal yang mulia ini, saya juga ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri serta memohon ampun dan maaf kepada semua hadirin sekelian.

Saudara-saudara sidang perwakilan sekelian,

Bersempena bulan yang mulia ini, marilah kita merapatkan lagi ikatan persaudaraan sesama kita dan kita lupakan terus tentang pertandingan yang baru berlangsung tadi.

Harapan saya agar yang menang janganlah riak dan yang kalah janganlah bersedih dan saya amat berharap dapat mendekati beliau dengan lebih rapat lagi untuk kita sama berjuang memartabatkan parti ini.

Saudara-saudara sidang perwakilan sekelian,

Saya juga ingin memohon saudara-saudara untuk merenung sejenak perjuangan mereka yang terdahulu daripada kita, terutamanya mereka yang telah melalui detik-detik getir berjuang menentang penjajah serta menuntut kemerdekaan.

Apa ertinya UMNO kepada mereka?

Kenapa mereka ini sanggup berjuang bermati-matian, berkorban jiwa raga, harta benda dan masa. Marilah kita bersama-sama menghayati semangat perjuangan mereka pada masa itu. Adakah UMNO menjanjikan apa-apa kepada mereka? Wang ringgit? Projek? Jawatan? Ataupun kuasa?

Apakah asas sebenar perjuangan mereka?

Setujukah saudara-saudara sekelian kiranya saya merumuskan bahawa asas sebenar perjuangan datuk nenek kita dahulu adalah untuk memastikan anak cucu mereka dapat mengecapi kehidupan yang lebih sempurna dan lebih baik dibumi bertuah ini?

Saudara-saudara sidang perwakilan sekelian,

Apakah relevan nya perjuangan kita pada hari ini kepada anak cucu kita pula? Kenapa UMNO pada hari ini menerima tamparan yang paling hebat didalam sejarahnya?

Saya ingin menegaskan bahawa perjuangan UMNO telah jauh tersasar dari landasan yang sebenarnya sehingga menyebabkan kita mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihanraya ke 12 yang baru lalu.

Ini adalah perkara yang perlu kita renungkan bersama secara berkumpulan dan kolektif. Kita perlu bersatu hati dalam berjuang serta memikirkan inisiatif yang diluar kotak pemikiran sebelum mengambil apa jua tindakan.

Saudara-saudara sekelian,
Tugas yang menanti kita dihadapan ini amat mencabar. Kita perlu menjadi ahli Pemuda UMNO yang ikhlas dalam perjuangan. Kita perlu mengembalikan kegemilangan Pergerakan Pemuda UMNO PJ Selatan seperti mana suatu ketika dahulu.

Selaras dengan hasrat ini, saya ingin mencadangkan manifesto berikut sebagai landasan perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO PJ Selatan:

  1. Pemuda UMNO PJ Selatan akan menjadi barisan yang disegani diperingkat pusat kerana akan menjadi perisai untuk menangkis semua tohmahan keatas dasar dan polisi UMNO. Pada masa yang sama juga, akan menjadi pembangkang secara berhemah didalam Perhimpunan Agung keatas sebarang dasar serta polisi yang tidak sesuai.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan akan menjadi satu kumpulan pelaksana / penggerak kepada misi dan visi UMNO Bahagian PJ Selatan dan sterusnya UMNO Malaysia.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan beriltizam untuk menjadi pemangkin kepada sebarang peubahan untuk memajukan UMNO seperti mengubah asas perjuangan bangsa, agama dan negara kepada (ALIF) iaitu Agama, (BAA) iaitu Bangsa dan (TAA) yakni Tanahair.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan juga beriltizam untuk meningkatkan tahap keimanan seluruh warga Pemuda serta golongan muda di Parlimen Petaling Jaya Selatan melalui program dakwah dan sebagainya kerana saya yakin dengan tahap keimanan yang lebih baik maka Pemuda akan bertambah maju dalam semua aspek.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan bertekad untuk mempertingkatkan penguasaan semua bidang ilmu melalui bimbingan yang berterusan supaya golongan muda di Parlimen Petaling Jaya Selatan akan dapat memajukan diri mereka.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan taraf hidup/pendapatan golongan muda di Parlimen Petaling Jaya Selatan dengan strategi-strategi yang berkesan dan bantuan daripada semua agensi kerajaan yang terlibat.
  1. Pemuda UMNO PJ Selatan juga akan mewujudkan golongan generasi pelapis di Parlimen Petaling Jaya Selatan ini yang akan menyambung semua usaha/ dasar atau membuat penambah baikkan untuk lebih berjaya lagi di masa hadapan.
    Saudara-saudara sekelian,

Saya memerlukan sokongan saudara sekelian untuk memantapkan lagi manifesto ini dan berjuang bersama-sama untuk merealisasikan manifesto ini. Agama kita juga menuntut kepada semua kegiatan dilakukan secara kolektif, dari solat berjemaah yang darjatnya 27 kali lebih daripada solat bersendirian sehinggalah kepada pelaksanaan ibadah haji.

Saudara-saudara sekelian,

Saya tidak bercadang untuk bercakap lebih panjang lebar lagi kerana kita mempunyai tugas yang lebih mencabar yang perlu laksanakan. Saya ingin menyeru saudara sekelian untuk bersama saya dan jika ada yang kurang atau salah, saya mohon ditegur demi kebaikan bersama. Saya berdoa supaya kita tidak dijangkiti sindrom dinosour.

Sebelum saya mengundurkan diri, saya dengan ini mengumumkan penangguhan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO PJ Selatan bagi tahun 2008.

Saya sudahi dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim

Wabilla hi taufik wal hidayah, Wasalam mualaikum warahmatullah hi taala wabarakatuh.