Friday, July 10, 2009

100 Hari YAB Dato’ Sri Najib sebagai PM

Dalam era moden ini, kemampuan seorang pemimpin kerap kali akan dinilai dengan apa yang beliau dapat lakukan dalam tempoh 100 hari beliau memerintah.

Walaupun ia bukan sesuatu yang rasmi, kerana kejayaan seorang pemimpin itu mungkin menyerlah pada hari yang 101, namun 100 hari pertama itu tetap dilihat dan diperhatikan dengan penuh khusyuk.

Mengapa 100 hari?

Ada pihak berkata 100 hari kerana ia satu tempoh yang sebenarnya cukup bagi seorang pemimpin itu untuk melaksanakan pelbagai polisi dan pembaharuan tetapi masih belum mampu untuk memperkukuhkan legasi pemerintahan mereka.

Kejayaan Najib

Dan hari ini (Sabtu), Datuk Seri Najib Tun Razak akan genap 100 hari menjadi Perdana Menteri ke-6 negara. Ramai antara kita telah pun melihat pelbagai pembaharuan dan kejayaan beliau dalam tempoh itu. Cuma kita mungkin keliru dengan keseluruhan pembaharuan itu kerana ia agak banyak. Kami mengariskan secara hampir terperinci segala yang Najib berjaya lakukan dalam 100 hari beliau berkuasa di bawah.

100 HARI PERDANA MENTERI MALAYSIA (3 APRIL 2009 – 11 JULAI 2009)
PEMBAHARUAN DAN PENCAPAIAN

1) Kesejahteraan Rakyat

i. Memperkenalkan Konsep 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
ii. Melakukan tinjauan mesra (walk about) untuk mengetahui denyut nadi rakyat.
- Kawasan-kawasan yang telah dilawati ialah, Vista Angkasa, Kg. Kerinchi, Jalan Petaling, Puduraya, Brickfields, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Pasar Kraf Kota Kinabalu, Pasar Besar Kota Kinabalu, Kg. Bintawa, Kuching, Pasar Malam Sibu dan Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.
iii. Mengarahkan satu kajian menyeluruh dilakukan untuk menangani isu kenaikan tol yang membebankan rakyat.
iv. Mengumumkan kerajaan akan mengambil alih Sabah Medical Centre dengan harga RM280 juta untuk menampung keperluan rakyat Sabah yang meningkat di hospital-hospital kerajaan.
v. Mengarahkan langkah-langkah segera diambil untuk mengatasi kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur.
vi. Mengarahkan supaya pembinaan kawasan letak kereta yang baru dibina di Jalan Tunku Abdul Rahman.
vii. Mengarahkan projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu disiapkan segera.
viii. Meminta agensi kerajaan yang terlibat memperbaiki kemudahan di Puduraya demi keselesaan penumpang.
ix. Memperkenalkan Biasiswa Nasional yang dikhususkan kepada para pelajar yang paling cemerlang di negara ini tanpa mengira kaum.

2) Hak Asasi dan Kebebasan Media

i. Membebaskan 13 tahanan ISA pada hari menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri.
ii. Menarik balik penggantungan penerbitan akhbar parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan.
iii. Mengumumkan akan mengkaji ISA.
iv. Membebaskan 13 lagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk para pemimpin Hindraf.
v. Media diberi kebebasan membuat liputan tetapi hendaklah adil dan bertanggungjawab.

3) Ekonomi dan Kewangan.

i. Melakukan liberalisasi ke atas 27 sub sektor perkhidmatan.
ii. Mengumumkan liberalisasi sektor kewangan.
iii. Mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM60 bilion.
iv. Melancarkan laman web pakej rangsangan ekonomi untuk membolehkan rakyat memantau pelaksanaan projek.
v. Mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memudahkan pengeluaran lesen kepada para peniaga kecil dan penjaja.
vi. Menubuhkan Majlis Ekonomi Negara yang akan mencari jalan untuk membentuk modal ekonomi baru yang berteraskan inovasi dan nilai tinggi.
vii. Meminta bank terus mengeluarkan pinjaman kepada peniaga agar perniagaan mereka tidak terjejas pada masa sekarang.
viii. Menubuhkan Danajamin yang akan menyokong kerjasama dalam pasaran modal.
ix. Melaksanakan deregulation ke atas garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC).
x. Menubuhkan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dengan modal awal RM500 juta sebagai institusi pelaburan baru dalam negara.
xi. Melancarkan Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) ke arah menjadikan Felda sebagai sebuah syarikat multinasional dalam bidang multi-crop di peringkat antarabangsa.

4) Pemodenan Dan Peningkatan Kualiti Perkhidmatan Awam.

i. Memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk semua menteri, timbalan menteri dan semua sektor kerajaan.
ii. Modenisasi perkhidmatan awam dengan melaksanakan dasar pintu terbuka, multi point entry dan cross fertilization bagi membolehkan lebih ramai tenaga kerja terbaik di sektor swasta dapat diserap dalam perkhidmatan awam. Kakitangan kerajaan juga dibenarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kebolehan mereka dengan mendapat latihan bekerja di GLC.
iii. Majlis yang dianjurkan oleh kerajaan perlu diringkaskan, tidak meleret-leret dan tidak terlalu memakan masa yang panjang.
iv. Menjadikan Bidang Keputusan Utama Nasional (KRA) sebagai kaedah baru dalam pentadbiran kerajaan untuk memacu negara ke tahap lebih berjaya. Ia akan digabungkan dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
v. Mengumumkan KPI dan KRA akan dijadikan asas untuk melonjakkan kecekapan perkhidmatan awam.
vi. Memperkenalkan sambutan Hari Inovasi menggantikan Hari Q (Kualiti) yang telah diperkenalkan sejak tahun 1987.
vii. Anggota awam kumpulan sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun dalam gred lantikan akan dinaikkan pangkat (176,066 orang)
viii. Menggubal 2 skim baru dan naik taraf 8 skim perkhidmatan (20,637) bermula 1 Julai 2009.

5) Politik
i. Mengarahkan kajian dilakukan ke atas perlembagaan UMNO dan sistem pemilihan parti supaya lebih ramai ahli terlibat dalam urusan pemilihan pucuk pimpinan sekali gus dapat membendung gejala politik wang.

6) Sosial

i. Menjadikan tanah rancangan Felda di seluruh negara sebagai Gedung Makanan Negara.
ii. Mengumumkan peningkatan peruntukan pembiayaan perumahan bagi generasi kedua Felda.
iii. Mengkaji penubuhan skim pencen pekerja swasta dan tabung pemberhentian pekerja bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan.
iv. Mencadangkan penubuhan Baitumal Kebangsaan dan memperkasakan Baitulmal negeri.
v. Skop dan peranan PEMUDAH diperluaskan termasuk melibatkan hal perumahan, jenayah dan pengangkutan.

7) Pembangunan Baru

i. Mencadangkan agar kajian dilakukan terhadap pembangunan tenaga nuklear dan sumber tenaga baru di negara ini berasaskan teknologi hijau.
ii. Meminta kajian dilakukan terhadap cadangan pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan Malaysia dan Singapura bertujuan melonjakkan pembangunan di timur Johor khasnya dan Wilayah Pantai Timur amnya. (Baru minta kajian bukan bina jambatan, faham tu..)

8) Dasar Luar

i. Melakukan lawatan rasmi ke China. (mengingati lawatan ayahanda beliau 40 tahun lalu)
ii. Melakukan kunjungan hormat ke atas pemimpin negara-negara jiran terdekat selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia iaitu Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Baru-baru ini diumumkan bahawa, pentadbiran YAB Dato' Sri Najib telah memutuskan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan. Setelah bertahun-tahun tertangguh begitu sahaja, isu PPSMI diselesaikan beliau dalam kurang 100 hari berkuasa.

Berucap pada majlis 'Seratus Hari Najib Bersama Rakyat 11 Julai 2009' di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, beliau memberikan 11 bonus tambahan kepada rakyat iaitu:
1- Diskaun tol Pengguna Smart Tag dan Touch n' Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, dapat diskaun 20 peratus.

2- Rumah rakyat
44,000 rumah rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

3- Lesen penjaja
Peniaga kecil di Wilayah Persekutuan diberi potongan 50 peratus untuk perbaharui lesen.

4- Permit teksi
3,000 lagi permit teksi untuk individu ditambah dalam masa tiga bulan akan datang.

5- Cegah jenayah
Langkah drastik bagi kurangkan jenayah dan rasuah diumumkan penghujung bulan ini.

6- Daftar kelahiran
Permohonan di Sabah dan Sarawak dipermudahkan. Baki permohonan akan diselesaikan sedikit masa lagi.

7- Jalan luar bandar
Pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak ditambah dalam tempoh RMK-10.

8- Bekalan air dan elektrik
Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah Dan Sarawak. Perincian diumumkan akhir bulan ini.

9- Latihan motosikal
Kadar bayaran latihan tunggang motosikal 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

10- Tambah peruntukan
Peruntukan Tekun Nasional ditambah RM150 juta dan RM15 juta untuk usahawan muda India.

11- Unit amanah
Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan.

Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan apa yang beliau lakukan itu, yang pasti beliau telah mengambil satu tindakan yang perlu dan tidak hanya mendiamkan diri.

Terpulang bagaimana kita hendak menilai usaha-usaha YAB Dato' Sri Najib ini, namun yang pasti, beliau sedang berusaha sebaik mungkin untuk rakyat. Tetapi kepada mereka yang jumud tu, buat baik macam mana pun pasti akan berkata tak betul .( setakat bercakap aje.. la)

Tahniah YAB Dato' Sri Najib daripada kami di Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan


Monday, July 6, 2009

Siri Ceramah UMNO PJS


















Tan Sri Isa bin Samad, bekas Naib Presiden UMNO Malaysia telah dijemput untuk memberikan ceramah politik bertajuk
"Memperkasa Perjuangan Melayu" yang dianjurkan oleh Biro Penerangan UMNO
Bahagian PJ Selatan. Kehadiran lebih kurang 150 orang pada malam itu masih
dapat menghangatkan suasana dengan amanat untuk ahli UMNO bersatu padu. Hadir sama pada malam itu ialah YBhg Raja Dato' Hanipuddin, Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Sdr Ridzuan Mahidin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian PJS dan Ketua-ketua UMNO Cawangan-cawangan. Tan Sri Isa memulakan dengan berkata; "Politik adalah berkaitan dengan persepsi. Kepimpinan UMNO patut mendapatkan maklum balas apakah persepsi ahli UMNO akar umbi mengenai kepimpinan mereka di bahagian?. Kedua nya apakah persepsi masyarakat pengundi yang bukan ahli UMNO terhadap UMNO itu sendiri?. Ahli UMNO patut menambah nilai diri mereka kerana; ahli UMNO adalah golongan yang kurang membaca selain daripada suratkhabar kerajaan sahaja tetapi kurang meninjau suratkhabar pembangkang untuk mendapatkan input dan melayari blog yang banyak sekarang ini. Keduanya ahli UMNO ini kuat merajuk (sampai hati) jika mereka tidak dapat apa yang diminta. Beliau menambah ahli UMNO mesti berani mempertahankan pemimpin mereka dalam apa jua keadaan.
Program ini berakhir jam 11.30 malam dengan janji bahawa banyak lagi siri ceramah akan diadakan lagi selepas ini.

Wednesday, July 1, 2009

PEMUDA PJS SETUJU WACANA ILMIAH

Pemuda PJS bersetuju supaya Wacana Ilmiah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS dan Pemuda UMNO Malaysia di percepatkan secepat mungkin bagi membolehkan rakyat memberi tumpuan kepada isu lain selain daripada politik sahaja setiap hari. Mari kita tunjukkan kepada mereka yang lebih senior dalam politik supaya berhenti mengarut tak tentu hala, banyak kerja lain yang perlu diberi keutamaan seperti menaikkan taraf ekonomi rakyat, hal kebajikan rakyat, mencegah/membasmi virus selsema babi(H1N1 la tu..),dll. Ini tidak asyik mengata dan mengumpat sesama muslim, marilah kita berusaha mencari titik persamaan dalam isu perpaduan orang Melayu demi memartabatkan agama Islam itu sendiri. Ayuh kayuh la perlahan- lahan!!! semoga usaha murni ini akan menampakkan hasil nya bukan sekarang tetapi berpanjangan sehingga 50 tahun akan datang... Apa yang penting? PER..PA..DUAN (nyanyi la sikit mcm iklan tu..)
Mari kita tunjukkan kepada mereka, kalau yang senior tak boleh buat bagi la laluan kepada kami yang muda pula tunjuk jalan.Ini baru dikira bersatu padu.

Ingatlah kejayaan sesuatu kaum itu terletak atas keperibadian orang mudanya masakini ...

Wacana Ilmiah : Pemuda UMNO Bersikap Terbuka Jemputan Pemuda Pas
Pemuda UMNO hari ini pada dasarnya bersikap terbuka terhadap jemputan Pemuda Pas untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata dalam perjumpaan ringkas di lobi Parlimen hari ini Pemuda bersikap terbuka kepada mana-mana usaha yang membawa kebaikan kepada masa depan negara.

"Dalam perjumpaan ringkas tadi terserlah kesungguhan untuk menjayakan inisiatif ini. Kita terbuka kepada usaha-usaha yang membawa kebaikan kepada masa depan negara.

"Kita akan tubuhkan urusetia bersama untuk memperhalusi perkara-perkara teknikal termasuk tajuk, format, tarikh, masa dan yang berkaitan dengannya", kata beliau kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi perkara tersebut akan dibuat selepas pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 14 Julai ini.

Dalam perjumpaan di lobi Parlimen di sini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana itu kepada Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim yang mewakili Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Selain Razali dan Hassan, perbincangan kira-kira 15 minit itu turut disertai beberapa pemimpin Dewan Pemuda Pas dan Pemuda UMNO.

Nasrudin berkata, perkara-perkara yang akan difokuskan dalam wacana itu adalah berhubung isu-isu berbangkit termasuk soal prinsip dan hala tuju perjuangan bersama termasuk yang membabitkan umat Islam di negara ini.

"Ini adalah satu usaha ke arah membincangkan dan menyelesaikan masalah yang menjadi polemik dan krisis antara kedua-dua parti dan yang lebih penting untuk kebaikan rakyat.

"Kami sangat positif dan juga bersikap terbuka dalam apa jua suasana ke arah menangani isu bagi menyelesaikan masakah-masalah. Ini insya-Allah akan menjadi permulaan untuk kita lebih membanyakkan perbincangan dan juga menghidupkan budaya ilmiah dalam menyelesaikan masalah," katanya.

Ketua Pemuda PJS merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Cawangan Taman Dato' Harun Idris






Sdr Ridzuan bin Mahidin telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Cawangan Taman Dato' Harun Idris pada 30hb. Julai 2009 di Pejabat Pemuda UMNO Bahagian PJS. Tahniah di ucapkan kepada Sdr Abdul Rahim bin Muhammad yang telah dipilih sebagai Ketua UMNO Cawangan yang baru setelah cawangan tersebut tidak mengadakan mesyuarat tahunan pada tahun yang lepas. Kehadiran ahli-ahli adalah memberangsangkan dan di ucapkan selamat maju jaya kepada kepimpinan yang baru ini.

Tuesday, June 30, 2009

Muslim tawaduk dikurnia hikmah kebijaksanaan

Marilah kita renungkan luahan hati seorang pakar rujuk agama mengenai kegawatan dan kegilaan untuk berkuasa oleh sesetengah pemimpin politik yang sanggup berbuat apa saja dalam menjayakan cita-cita nya...

Meja rundingan ditolak, gelanggang debat dibuka serlah dendam politik tak berkesudahan
.
Oleh Dr Juanda Jaya

GAMAT dan gawat! Parti politik yang mewakili umat Islam saling tuduh-menuduh, menghina dan mengeji sesama sendiri, mengata tanpa batasan kerana berasa diri serta kumpulan mereka paling ikhlas berjuang untuk Islam, sedangkan parti lain munafik, fasik, bahkan difatwakan kafir.

Padahal, mereka semuanya muslimin, mengucapkan syahadatain, mendirikan sembahyang dan fardu lain dalam rukun Islam. Apakah bacaan syahadat mereka itu sebatas kerongkong saja? Sembahyang mereka satu upacara amal semata? Apakah puasa mereka tidak berjaya melumpuhkan sifat keji dan amarah yang merasuk jiwa?

Lidah pejuang politik umat Islam seakan-akan bercabang dua, satu lidah untuk solatnya dan satu lagi lidah untuk mencaci maki saudara seagamanya. Hatinya juga umpama dua talam, hati yang kadang-kadang beristighfar dan hati yang tiba-tiba berubah bak singa kelaparan.

Sesama Muslim bercakaran, satu kumpulan mengaku Islam progresif, lawannya mengisytiharkan parti mereka paling Islamik. Perpecahan sebegini tidak hanya dialami parti politik Islam, bahkan dalam arena organisasi dakwah yang pelbagai timbul masalah perselisihan mengenai manhaj dakwah siapakah yang paling benar.

Jika memang benar semua mengaku bekerja untuk kemaslahatan Islam, maka kenapa timbul pelbagai kerosakan, kemudaratan bahkan mungkin akan menjurus kepada pertumpahan darah. Tidak mustahil apabila pengikut yang tidak dapat mengawal emosi akibat terlalu taksub kepada pemimpin dan parti politik akan memberontak sehingga menimbulkan kemudaratan lebih besar kepada umat Islam keseluruhannya.

Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Min Fiqh Daulah Fil Islam mengatakan: "Pelbagai parti dalam politik sama kedudukannya dengan mazhab dalam aliran fekah. Ulama yang mewakili mazhab fekahnya seperti pemimpin politik yang sama-sama mengaku mewakili Islam. Masing-masing berijtihad mengikut pandangannya yang tidak terlepas daripada kesilapan.

Katanya lagi: "Apa yang kita tolak dalam medan politik sama dengan apa yang kita tolak dalam bidang fiqh iaitu ketaatan yang melulu dan taksub buta serta memberikan kesucian kepada sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi. Inilah punca kerosakan dan perpecahan."

Menyatakan bahawa ulama mazhab fekah itu suci dan tak berbuat kesilapan pun dilarang, maka apatah lagi menyatakan pemimpin politik yang dikasihi itu maksum tidak tersilap. Tidak ada manusia yang tidak bermaksiat melainkan nabi yang maksum.

Al-Qaradawi berkata lagi: "Saya ingin menyatakan kepada mereka, bahawa daulah Islamiyah bukanlah sebuah negara agama (Teokrasi) seperti yang dikenali umat lain. Saya bermaksud bahawa ia adalah daulah madaniyah yang diperintah oleh syariat Islam.

Pemerintahnya bukanlah seorang imam yang maksum, anggotanya bukanlah rahib yang suci, bahkan mereka adalah manusia yang kadang-kadang betul dan silap, kadang-kadang berbuat baik dan jahat, adil dan zalim, taat dan bermaksiat.

Rakyat hendaklah membantu mereka apabila mereka berbuat baik dan adil, membetulkan mereka apabila mereka silap dan menolak perintah mereka apabila mereka diperintahkan berbuat maksiat."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan ke atas seorang Muslim sama ada dia suka ataupun tidak selagi mana tidak diperintah melakukan maksiat, sekiranya diperintah melakukan maksiat maka tidak perlu lagi dengar dan taat." � (Hadis Muttafaq Alaih)

Apabila pemimpin menyeru kepada semangat asabiyah kepuakan, taksub parti sehingga membutakan mata dalam memandang sesuatu isu tanpa usul periksa, memecah belah persatuan umat sehingga melemahkannya hingga ke tahap boleh tunduk dan taat kepada kuasa bukan Islam lagi kafir, maka ia tidak lagi wajib ditaati bahkan mereka wajib menasihati pemimpin yang melakukan kesilapan itu sebagai usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Al-Qaradawi juga mengulas isu perselisihan umat dalam kitabnya bertajuk Al-Shahwah Al-Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa Tafarruq al-Mazmum: "Walau bagaimanapun bukan semua perselisihan adalah keburukan, ia terbahagi kepada dua jenis.

Perselisihan yang membawa kepelbagaian dan keluasan berfikir dan yang kedua ialah perselisihan yang (hanya bermatlamatkan) saling berlawanan satu sama lain. Yang pertama adalah dipuji dan yang kedua adalah dikeji."

Kesatuan adalah saudara kembar kepada iman dan perpecahan pula adalah saudara kepada kekufuran dan jahiliah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai." �(Surah Ali Imran, ayat 103)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang bercerai-berai (Yahudi dan Nasrani) dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata. Dan mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang pedih." � (Surah Ali Imran, ayat 105)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu bertelingkah kerana umat sebelum kamu pernah bertelingkah lalu mereka dibinasakan." � (Hadis Muttafaq Alaih)

Berbilang parti politik yang mewakili Islam diharap dapat membuka keluasan berfikir dan kebijaksanaan menguruskan hal ehwal umat, bukan sebagai medan bertumbuk, berbalah jiwa dan perasaan yang mengundang dendam politik tidak berkesudahan.

Jelas sekali hal sebegini bukanlah suatu rahmat, bahkan ia suatu azab kepada umat Islam. Jika meja perundingan ditolak dan gelanggang perdebatan dibuka, bukankah ia menunjukkan dendam politik yang bertujuan mahu menjatuhkan satu sama lain?

Natijah yang pasti adalah akan saling mendedahkan aib sesama sendiri yang sudah ditutup oleh Allah dan ia sudah pasti merugikan umat seluruhnya.

Apakah sebenarnya yang mahu dibuktikan dengan majlis saling berbantah-bantahan dalam forum terbuka dan disaksikan ramai orang, sedangkan kaedah menasihat sesama Muslim berbeza dengan cara menasihat penjenayah yang zalim lagi suka menumpahkan darah seperti Fir'aun.

Sedangkan Allah menyuruh Musa dan Harun AS menasihati Fir'aun dengan cara berlemah-lembut sebagaimana termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, Sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut." � (Surah Taha, ayat 43-44)

Sewajarnya semua ahli politik Muslim meletakkan maslahat Islam atas segala kepentingan. Dengan itu mereka akan bersikap matang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar tanpa melepaskan ikatan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan moral.

Bukankah al-Quran sudah menjelaskan tahap menyeru manusia ke jalan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berhujahlah dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk." � (Surah An-Nahl, ayat 125)

Dalam hati orang yang menasihati saudara muslimnya hendaklah sentiasa hadir rasa tawaduk, amat sangat inginkan saudaranya dapat menerima nasihat kerana Allah, jauh sekali mahu menunjukkan kehebatan, bahkan dia berkata-kata seolah-olah dia menasihati dirinya sendiri.

Renungilah ungkapan bijaksana ulama Salaf yang agung, al-Imam al-Fudail bin 'Iyad dalam kitab Al-Faqih wal Mutafaqih: "Sesungguhnya Allah mencintai orang alim yang tawaduk dan Allah membenci orang alim yang sombong lagi takbur. Sesiapa yang tawaduk kerana Allah, maka Allah akan mengurniakan hikmah kebijaksanaan kepadanya. Oleh itu dia hendaklah membiasakan lidahnya bercakap dengan lembut dan bersikap halus dalam bersoal jawab. Ini semua hendaklah dilakukan terhadap semua orang, sama ada kepada yang Muslim ataupun kepada ahli zimmah."

Penulis ialah Mufti Perlis
dipetik daripada Berita Harian 29 Jun 2009

Monday, June 29, 2009

Ketua Pemuda Calun BN DUN Manek Urai

Tahniah di ucapkan kepada calun BN DUN Manik Urai dari kami daripada Pemuda PJS dengan doa serta harapan semoga beroleh kemenangan yang besar.

Tuan Aziz calon BN Manek Urai

KOTA BHARU 28 Jun - Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN di Kampung Sungai Sok Luar, dekat sini petang ini.

Muhyiddin yakin Ketua Pemuda UMNO Kuala Krai itu dapat memastikan BN menawan kerusi Manek Urai dan menjadikan ia sebagai titik permulaan kebangkitan parti itu di Kelantan.

"Kita yakin beliau berkemampuan, ada pengalaman dan kelulusan yang tinggi serta biasa dengan masyarakat setempat dan saya percaya beliau boleh menjadi wakil yang berkesan untuk seluruh pengundi di Manek Urai,'' katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman itu.

Malah katanya, pemilihan Tuan Aziz juga dilihat dapat membantu menarik lebih ramai sokongan kalangan muda yang dianggarkan sekitar 25 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Tuan Aziz adalah anak jati Kuala Krai yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yok Chai sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra dan seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra di bandar ini.

Selepas menamatkan pengajian di UTM, anak keempat dari enam beradik itu bertugas di beberapa buah syarikat swasta di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Kuala Krai untuk berkhidmat bersama Kesedar pada tahun 1997.

Di petik dari Utusan Malaysia 29 Jun 2009